Thursday, March 23, 2006

BAB 2

Hari minggu. Arman bangkit lebih awal lalu mandi sekadarnya. Terasa segar tubuhnya serta-merta apabila disimbah air yang dingin. Hari minggu ini sama seperti hari-hari yang lain, tiada aktiviti menarik. Arman memanaskan cerek di dapur. Dia sempat mengintai sebelah mata ke bilik Mama. Kosong. Katil Mama kemas teratur. Arman tidak tahu ke mana Mama pergi seawal pagi sebegini. Dibancuhnya air Nescafe sebaik mematikan api bila cerek mula menjerit. Dia membuka almari dapur mencari gula dan krimmer. Arman menghirup Nescafe panas dalam mug merah itu, nikmat dan puas.

Dibukanya televisyen, menekan punat Channel 40 HBO. Ada filem ‘Forest Gump’ ditayangkan. Tiba-tiba telefon berdering nyaring, serentak Arman menepuk dahi. Arman sudah dapat mengagak dan pasti siapa pemanggil itu. Dia terlupa temujanji dengan Khairul, pengurus kumpulan Kunci jam 9.30 pagi itu. Dia membiarkan telefon berdering semahu-mahunya sementara dia cepat-cepat menyarung seluar jeans Levis hitam yang tercampak di tepi dinding biliknya. Arman jenguk ke luar tingkap. Hari sudah masuk tengahari. Setelah memakai t-shirt tertulis “For Good Luck, Rub My Tummy!” berwarna biru tua, Arman segera keluar dari apartmentnya.
Khairul sudah lama menunggu. Sudah naik jenuh dan bosan. Tingkah lakunya menunjukkan dia bengang dan marah. Seboleh-bolehnya Arman ingin memperlihatkan rasa bersalahnya kerana terlewat sampai.
“Maaf, Abang Khairul! Saya tak sengaja… Betul-betul terlupa…” Arman susun sepuluh jari tanda minta maaf yang bersungguh-sungguh, agar Khairul tidak meleterinya atas keterlewatan itu.

“Mata kau nampak lesu, kenapa?” tanya Khairul tanpa mengendahkan rayuan maaf Arman sebentar tadi. Arman duduk di kerusi kosong berhadapan dengan Khairul yang sedang menghembus asap rokok. Asap putih kelabu berkepul keluar dari hidungnya.

“Malam tadi buat lirik lagu sampai pagi…” selamba Arman membalas pertanyaan Khairul sambil matanya memerhati ke luar Kafe Coffee Bean yang terletak berhadapan The Beach itu.
“Lagu baru lagi?” Arman sekadar mengangguk. Datang seorang pelayan menghampiri, Arman memesan Caramel Ice Blended. Biarpun dipelawa makan sama oleh Khairul, Arman hanya menggeleng. Khairul makan Curry Pie yang dipesannya dengan lahap, nampak seperti terlalu lapar atau mungkin sengaja memaklukan kepada Arman bahawa dia tidak makan sedari tadi dek sebab menunggu Arman.

Selesai makan dan mengesat mulutnya dengan tisu, Khairul menghulur sekeping sampul surat berwarna putih kepada Arman. Ada senyum kecil terserlah dari bibir Arman. Ada lima keping cek tersusun rapi di dalamnya, bukan hanya untuk Arman seorang, tetapi juga untuk Shah, Rudy, Liam dan Ehsan juga ada. Muka Khairul berubah serius sewaktu membincangkan tentang jadual persembahan yang seterusnya bagi promosi album Kunci.

“Oh ya, dah baca review tentang album Kunci dalam Majalah Galaxy?” Pertanyaan Khairul itu menarik perhatian Arman. Dia menggeleng, tetapi matanya masih melekat terus pada Khairul, menunggu ucapan selanjutnya.

“Kau patut baca…”

“Komen bagus atau menjatuhkan?”

Khairul tersengih bagai kerang busuk. Gelak-gelak kecil sebelum menyalakan api untuk sebatang lagi rokok Dunhill yang sedia terkepit antara celah jari hantu dan jari telunjuknya. Arman masih menanti soalannya dijawab. Jantung makin lama makin deras, telinga makin lama makin peka. Khairul yang sedar bahawa Arman mulai panik, masih tersengih-sengih seorang diri memerhatikan Arman. Arman mengertap bibir, ada rasa dia akan menumbuk muka lelaki yang dipanggil Abang Khairul itu andaikata Khairul mula ketawa.
“Kunci dapat komen 4 ½ bintang. Tak tahulah mana pergi lagi ½ bintang... Mungkin sengaja kau simpan untuk album baru nanti ya?” Arman senyap, hatinya bergelojak. Ada terlalu banyak perkara yang tidak boleh sampai ke pengetahuan Khairul, terutama dari segi muzik Kunci berkreativiti, penghasilan karya senikata lagu dan banyak aspek lain lagi. Biarpun menyenangi perwatakan Khairul, Arman tidak begitu percaya 100% kepadanya. Kunci bukanlah satu-satunya kumpulan yang diuruskan Khairul. Ada 3-4 buah kumpulan lain lagi. Arman tidak mahu Khairul terlepas cakap, tersasul dan membocorkan rahsia dalaman Kunci pada orang lain secara tidak sengaja.
Arman cuba mengubah topik. Khairul menyedut minumannya sambil cuba bermain bahasa mata, mengcungkil kebimbangan Arman yang dapat dihidunya. Khairul bukan baru dalam bidang pengurusan industri muzik ini. Sudah 15 tahun dia mengendali karenah artis, dari pelbagai peringkat umur, konsep muzik dan pelbagai lagi. Usia Khairul yg hampir melewati 40 tahun mematangkan fikirannya. Dia tahu apa yang Arman cuba sembunyikan. Dia hormati prinsip Arman, lantas dia tidak bertanya lagi. Arman diam, berfikir. Bagaimana akan dihabiskan siang ini? Arman mengajak Khairul beredar dari situ kerana mulai berasa kurang selesa dengan suasana kafe yang makin ramai orang. Sebenarnya, Arman rimas dengan mata-mata yang memandangnya kemudian berbisik-bisik sesame sendiri.

“Ke mana?” soal Khairul.

“Tower Records, saya nak cari cd…”

Mereka berbual-bual kosong di sepanjang jalan. Khairul memandu kereta Proton Wajanya dengan perlahan-lahan, tidak seperti selalu. Pandangan mata Arman lebih tertumpu ke arah kaki lima bangunan di sepanjang jalan. Khairul menceritakan tentang rancangan promosi seterusnya yang diatur untuk Kunci. Sesekali dia mengeluh tentang sikap sambil lewa Ehsan setiapkali sessi latihan. Dia meminta Arman menasihati Ehsan agar menjaga displin dirinya atau diberi kata dua yang boleh mengakibatkan dia dipecat keluar dari kumpulan. Ehsan seorang pemain gitar yang berbakat besar. Sayang kalau dia terus-terusan bersikap membelakangkan kumpulan dan lebih mementingkan teman wanitanya.
Selama beberapa minit, mereka terdiam. Entah kerana apa, Arman tidak tahu apa yang perlu diperkatakan untuk menyenangkan hati Khairul. Sekali imbas, Arman nampak sebuah Wartel di sebelah Seven Eleven. Dia meminta Khairul memberhentikan kereta. Kereta diberhentikan mengejut dan dahi Khairul berkerut seribu tanda tanya. Arman keluar sebentar dari kereta, menyelinap masuk ke dalam Wartel.
“Langit nggak ada. Katanya mau nonton bareng temannya.” Jawab satu suara perempuan dengan lembut. Amran meneka itulah Ibu Langit. Ada sedikit hampa tercuit di hati kecilnya. Sejak dari malam kelmarin dia kerap teringatkan wajah manis itu. Secantik langit, persis namanya yang indah dan unik itu. Dengan muka masam, Arman kembali mendapatkan Khairul yang menunggu di dalam perut kereta.
*************************************************************************************************************************************************
Tap! Radio terpadam. Kaset sudah sampai ke hujung. Nelly tidak puas hati. Ruang dalaman kedai cenderamatanya senyap sunyi. Nelly mengeluarkan cd lagu-lagu dari Daniel Bedingfield pula. Sambil duduk menyilang kaki, dia sesekali menghirup Vanilla Coke bersaiz sederhana yang dibeli semasa singgah di Mc Donald’s sebentar tadi.
Kala lelaki itu masuk ke dalam Kedai “Lain” milik Nelly, mukanya tidak ceria seperti kebiasaannya. Dia tidak menyapa Nelly tetapi terus duduk di hujung meja kaunter, tempat dia selalu duduk kalau berkunjung ke situ. Tempat kegemarannya.

“Bila berangkat ke Melaka?”
“Lusa.” Dia jawab acuh tak acuh.

“Karnival Sureheboh dilancarkan lusa juga?”
Dia sekadar angguk tetapi tidak menoleh memandang Nelly. Aneh. Kenapa lelaki itu berlainan sekali sikapnya hari ini? Apakah yang membuat dia rasa tercengkam sebegitu rupa?
Dua gadis jelita berpakaian seksi menampakkan potongan badan dan bermekap tebal berjalan masuk ke kedai itu. Mereka melihat-lihat t-shirt yang tersangkut di rak besi, dicetak tulisan-tulisan lucu, sinis dan menyindir yang turut dijual di situ. Sesekali berderai ketawa mereka. Kemudian berbisik-bisik sesama sendiri. Nelly masih berdiri di sisi lelaki itu, hanya ekor matanya memerhatikan gelagat dua gadis yang sedang sudah beralih sudut, meninjau-ninjau aksesori kristal. Mereka telah memilih satu bingkai gambar kayu bersaiz 4R dan meminta Nelly membalut cantik-cantik hadiah itu. Setelah membayar wang, dua gadis tadi keluar dari kedai seraya sempat mencuri pandang ke arah Arman yang masih termenung.

“Nak ajak jalan-jalan boleh?” Arman bersuara secara tiba-tiba. Nelly yang sedang membilang wang di kaunter, mempamer senyum.

“Jalan-jalan ke mana?”

“Terpulanglah… tapi aku perlukan teman berbual. Kalau kau sibuk, aku fahamlah…” Di dalam hati, Nelly sedar akan kebenaran kata-kata Arman. Petang masih awal. Dia tidak boleh menutup kedai selagi target jualan harian belum tercecah. Irene, pembantu kedainya cuti pula hari ini. Jika tidak, dia dengan senang hati akan menemani Arman sepanjang hari ini. Seperti selalu. Kalau Arman tidak sibuk di studio, tidak ada pertunjukkan di mana-mana, Arman pasti mengajak Nelly keluar bersama-sama.

“Kita berbual di sini sajalah… Hari ini tak ramai customer.” Nelly melihat jam di tangan. “Tunggu sini kejap, aku pesankan minuman untuk kau.”

Beberapa minit kemudian, Nelly datang duduk di kerusi menghadap Arman. Dia menghulurkan secawan Cappucino kepada Arman. Arman mengambil strip dan terus mengacau air di dalam cawan di hadapannya. Jejarinya menggeletar dan dingin. Arman mengangkat cawan dan terus meneguk seperti sangat dahaga. Sementara Nelly hanya memandang Arman.

“Apa yang kau fikirkan?” tanya Nelly. Arman diam, kepalanya terasa sarat dan berat. Dia sendiri tidak mengerti buah butir fikiran yang dirasakan berkecamuk. Entah kenapa suatu perasaan pilu menyelinap seluruh jasad Arman. Mungkinkah kerana perpisahan selama dua minggu, dia tidak mendengar suara Langit? Atau kerana dia akan mulai sibuk promosi tour selama 6 bulan dari sekarang?

“Kenapa tak gembira? Ada masalah?” tanya Nelly lagi.

“Aku tahu kau selalu ambil berat tentang diriku…” Arman merenung Nelly sejenak. Dia mengusap-usap rambut Nelly yang jatuh ke dahi. Arman mengenali Nelly Karmilla Rashidi semenjak usianya 13 tahun. Mereka sama-sama menuntut di Sekolah Menengah Sri Inai, Ampang. Nelly gadis bijak, baik dan menyenangkan. Arman suka padanya, berkawan dengannya. Senang berada dekat dengannya. Nelly bagaikan sudah menjadi teman paling rapat Arman secara tidak langsung. Kepadanya sering Arman ceritakan tentang segala-galanya. Nelly tahu semuanya tentang Arman. Nelly rapat dengan Mama. Tidak pernah Arman berahsia apa-apa dari Nelly. Namun, hanya yang satu ini agak payah untuk Arman mencari permulaan cerita dari emosinya yang sedang kacau-bilau. Seketika, keadaan di antara mereka keheningan.

“Lagu ini selalu mengingatkanku padamu…” ujar Nelly perlahan. Dia memegang alat kawalan jauh dan memperbesarkan volume radio. Lagu dari Daniel Bedingfield, “If You’re Not The One” sedang bergema. Arman senyum seadanya, menjaga hati. Dia menggeleng-geleng kepalanya. Haruskah diceritakan tentang Langit kepada Nelly? Tentang apa yang ada dalam hatinya terhadap Langit? Haruskah?

Arman memandang ke arah luar kedai, melihat ke arah bangunan-bangunan pencakar langit di tengah-tengah kota sana. Nelly masih tertanya-tanya akan sikap Arman yang sangat berbeza. Tidak ceria dan seperti memikirkan sesuatu. Entah apa. Pengunjung yang datang ke Kedai “Lain” bertambah ramai apabila hari semakin merangkak malam. Arman habiskan waktunya hari itu mambantu Nelly di kedainya. Jam 9 malam mereka pulang bersama-sama menaiki LRT, kerana kereta Kenari warna kelabu asap kepunyaan Nelly berada di bengkel. Hujan lebat membuatkan mereka basah kuyup. Mujurlah hujan turun ketika mereka sudah berjalan hampir benar dengan Apartment Sri Riveira itu. Arman tekan butang naik di sisi lif. Ia meluncur ke atas. Di tingkat enam, Nelly keluar seraya melambai Arman dan melontarkan flying kiss. Arman senyum. Tiba di tingkat tujuh, pintu lif terbuka dan Arman melangkah keluar.

Mama berada di ruang tamu sedang menonton televisyen saat Arman masuk ke dalam Apartment itu tanpa mengetuk pintu. Spontan, Arman berbaring manja di atas peha Mama yang sedang duduk di sofa panjang. Mama membelai rambut Arman bagai anak kecil.

“Kemana saja seharian?”

“Temani Nelly di kedainya.” balas Arman bersahaja.

“Boy tertinggal handphone ya?”
Sekadar mengangguk, Arman cuba mengalihkan fokus perhatiannya ke arah drama ‘Pondok Buruk’ yang disiarkan di Channel Astro Ria itu.
“Ramai call cari Boy tadi…” Mama menghulur sepinggan kuih Tart Nanas kepada Arman, anak tunggal kesayangannya. Semenjak suaminya meninggal dunia, dua beranak ini sering menghabiskan masa bersama andai ada waktu terluang. Arman mengambil satu kuih Tart Nanas di atas piring itu.
“Siapa yang call?”
“Ehsan call bertanyakan cek royaltinya. Rudy dan Shah juga ada call. Liam hantar sms dan satu unknown missed call. Entah dari siapa…” jelas Mama, memaklumkan. Arman menyambut huluran telefon bimbit dari tangan Mama. Dia memicit papan kunci menu dan terus scroll ke daftar panggilan tak terjawab. Terpampang “unknown” di skrin.
*************************************************************************************************************************************************
Encik Nirwan Arsuka mengangguk-angguk dan sesekali tersenyum membaca artikel yang baru dihantar oleh Langit kepadanya. Tertarik benar pada rangkap teks di mana vokalis kumpulan Kunci, Arman Mulya menjawab soalan yang diajukan Langit dengan tenang tetapi sarat dengan pengertian tersendiri.

“Musik adalah sesuatu yang sering menjadi pintu belakang hidup saya. Ini amat penting bagi pendengar untuk mencari sesuatu yang menggembirakan mereka. Saya sukakan konsep di mana jika anda buat sesuatu yang menggembirakan anda, anda akan dihargai dengan baik, tidak kira dalam apa bentuk penghargaan sekalipun, dan tidak semestinya dalam bentuk ganjaran wang! Saya fikir ini wujud dalam setiap pintu belakang semua manusia, dan ini sangat berbeda berdasarkan setiap apa yang anda lalui dalam hidup masing-masing.”

Puas hati dengan apa yang dibacanya, Encik Nirwan Arsuka memutuskan untuk memuatkan artikel Langit kali ini di kolum “Expose” dengan dua muka surat berwarna. Dia mencatat sesuatu di atas kertas bertaip itu sambil sesekali memperbetulkan kesilapan ejaan pada artikel. Majalah muzik ‘Strictly’ itu harus terbit di pasaran sebulan sekali. Ternyata dia telah melewati tarikh deadline. Dia harus cepat-cepat menyerahkan artikel itu ke bahagian grafik untuk layout foto kumpulan tersebut.

Encik Nirwan Arsuka nampak Langit sedang beratur memesan makanan. Dia gamit Langit yang terpandang ke arahnya, mengisyaratkan agar mereka makan bersama. Di Dunkin Donuts yang tidak ramai pengunjung itu memang sesuai untuk mereka menghilangkan stress buat seketika. Langit datang menatang dulang berisi Tuna Sandwich dan Donut perisa lemon. Aroma kopi hitam menyucuk-nyucuk deria bau. Langit senyum pada Encik Nirwan Arsuka yang nampak segak berbaju t-shirt Renoma hitam dan jeans berbutang Levis.

“Mahu minum bersama saya?” Encik Nirwan Arsuka angguk. Langit terus duduk di kerusi kosong berhadapan Ketua Editornya itu. Secara kebetulan dia juga bersendirian hari itu.
“Artikel kamu tadi bagus! Saya suka isi wawancaranya… Soalan dan jawabannya matang. Kayak berbahas! Provokasi kamu positif!” Pujian Encik Nirwan Arsuka membuat rona muka Langit memerah.

“Ah, itu cuma biasa-biasa aja. Bukan saya yang patut diberi kredit sebegitu. Ternyata Arman Mulya lebih layak.” Langit merendah diri.

“Itu benar. Arman yang membuatkan soalan kamu bertambah menarik melalui setiap jawabannya. Tetapi kamu harus sadar bahawa gaya penulisan kamu juga semakin matang dari segi emosi yang terlahir. Begitu dalam dan ekspresi sekali! Seolah-olah kamu dapat membaca segala apa yang ada dalam fikiran Arman saat itu.” Semakin merah muka Langit mendengar kata-kata itu dari mulut Encik Nirwan Arsuka.
“Saya sedang mencuba melepaskan diri dari aturan-aturan penulisan yang selama ini membuat saya terkongkong dan memagari pemikiran saya. Tapi saya kira saya belum berhasil memutuskan apa-apa. Saya berada dalam proses. Dan mungkin saya menjadi matang dalam proses itu.”

Mata Encik Nirwan Arsuka bersinar memandang Langit. Senyumannya mesra dan tidak dibuat-buat. Ada makna tersembunyi dari lekuk senyumnya.

“Kamu akan bisa melepaskan diri dari aturan-aturan dan kongkongan itu, Langit. Saya percaya waktu pasti beri kamu kesempatan untuk menjadi penulis hebat!” Bukan mudah untuk mendengar pujian dari mulut Ketua Editor itu. Tidak tahulah betapa benar dan ikhlasnya kata-kata pujian itu. Sejenak menakutkan Langit kerana tidak mahu hanyut dalam riak takbur dipuji sedemikian.

“Sebenarnya, artikel saya kosong kalau bukan kerana energi yang Arman salurkan ke dalam wawancara ini. Dia itu manusia unik dan terlalu misterius. Saya merasa segar dan lebih hidup saat ngobrol sama dia.”

“Kunci dan Arman Mulya adalah sinonim. Arman Mulya adalah pemegang kunci mutlak atas musik yang terhasil. Saya suka itu….” Encik Nirwan Arsuka senyum lagi, lebih lebar menampakkan giginya. Dia menghirup kopi hitam kurang manis.

Tiba-tiba Langit seperti merindu lelaki itu. Dia merasa kehilangan. Wajarkah diteruskan rasa rindu yang mencengkam? Langit geleng kepala, tidak mahu terjebak lebih jauh dalam dunia Arman, hatinya berdesis. Namun desakan rindu itu mengatasi semua pertimbangan lain. Sudah dua minggu terpisah, Langit kerap kali teringatkan dia, mengharap akan datang panggilan darinya, atau paling tidak kiriman sms sekadar mengisi jiwa yang kosong dan merindu.
*************************************************************************************************************************************************

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

ala
nelly tu minat kat arman.
langit tak minat kat arman.
arman tak minat kat dua2.

pasal dia minat
SITI NURHALIZA!

hehehe

9:13 AM  

Post a Comment

<< Home