Thursday, March 23, 2006

BAB 2

Hari minggu. Arman bangkit lebih awal lalu mandi sekadarnya. Terasa segar tubuhnya serta-merta apabila disimbah air yang dingin. Hari minggu ini sama seperti hari-hari yang lain, tiada aktiviti menarik. Arman memanaskan cerek di dapur. Dia sempat mengintai sebelah mata ke bilik Mama. Kosong. Katil Mama kemas teratur. Arman tidak tahu ke mana Mama pergi seawal pagi sebegini. Dibancuhnya air Nescafe sebaik mematikan api bila cerek mula menjerit. Dia membuka almari dapur mencari gula dan krimmer. Arman menghirup Nescafe panas dalam mug merah itu, nikmat dan puas.

Dibukanya televisyen, menekan punat Channel 40 HBO. Ada filem ‘Forest Gump’ ditayangkan. Tiba-tiba telefon berdering nyaring, serentak Arman menepuk dahi. Arman sudah dapat mengagak dan pasti siapa pemanggil itu. Dia terlupa temujanji dengan Khairul, pengurus kumpulan Kunci jam 9.30 pagi itu. Dia membiarkan telefon berdering semahu-mahunya sementara dia cepat-cepat menyarung seluar jeans Levis hitam yang tercampak di tepi dinding biliknya. Arman jenguk ke luar tingkap. Hari sudah masuk tengahari. Setelah memakai t-shirt tertulis “For Good Luck, Rub My Tummy!” berwarna biru tua, Arman segera keluar dari apartmentnya.
Khairul sudah lama menunggu. Sudah naik jenuh dan bosan. Tingkah lakunya menunjukkan dia bengang dan marah. Seboleh-bolehnya Arman ingin memperlihatkan rasa bersalahnya kerana terlewat sampai.
“Maaf, Abang Khairul! Saya tak sengaja… Betul-betul terlupa…” Arman susun sepuluh jari tanda minta maaf yang bersungguh-sungguh, agar Khairul tidak meleterinya atas keterlewatan itu.

“Mata kau nampak lesu, kenapa?” tanya Khairul tanpa mengendahkan rayuan maaf Arman sebentar tadi. Arman duduk di kerusi kosong berhadapan dengan Khairul yang sedang menghembus asap rokok. Asap putih kelabu berkepul keluar dari hidungnya.

“Malam tadi buat lirik lagu sampai pagi…” selamba Arman membalas pertanyaan Khairul sambil matanya memerhati ke luar Kafe Coffee Bean yang terletak berhadapan The Beach itu.
“Lagu baru lagi?” Arman sekadar mengangguk. Datang seorang pelayan menghampiri, Arman memesan Caramel Ice Blended. Biarpun dipelawa makan sama oleh Khairul, Arman hanya menggeleng. Khairul makan Curry Pie yang dipesannya dengan lahap, nampak seperti terlalu lapar atau mungkin sengaja memaklukan kepada Arman bahawa dia tidak makan sedari tadi dek sebab menunggu Arman.

Selesai makan dan mengesat mulutnya dengan tisu, Khairul menghulur sekeping sampul surat berwarna putih kepada Arman. Ada senyum kecil terserlah dari bibir Arman. Ada lima keping cek tersusun rapi di dalamnya, bukan hanya untuk Arman seorang, tetapi juga untuk Shah, Rudy, Liam dan Ehsan juga ada. Muka Khairul berubah serius sewaktu membincangkan tentang jadual persembahan yang seterusnya bagi promosi album Kunci.

“Oh ya, dah baca review tentang album Kunci dalam Majalah Galaxy?” Pertanyaan Khairul itu menarik perhatian Arman. Dia menggeleng, tetapi matanya masih melekat terus pada Khairul, menunggu ucapan selanjutnya.

“Kau patut baca…”

“Komen bagus atau menjatuhkan?”

Khairul tersengih bagai kerang busuk. Gelak-gelak kecil sebelum menyalakan api untuk sebatang lagi rokok Dunhill yang sedia terkepit antara celah jari hantu dan jari telunjuknya. Arman masih menanti soalannya dijawab. Jantung makin lama makin deras, telinga makin lama makin peka. Khairul yang sedar bahawa Arman mulai panik, masih tersengih-sengih seorang diri memerhatikan Arman. Arman mengertap bibir, ada rasa dia akan menumbuk muka lelaki yang dipanggil Abang Khairul itu andaikata Khairul mula ketawa.
“Kunci dapat komen 4 ½ bintang. Tak tahulah mana pergi lagi ½ bintang... Mungkin sengaja kau simpan untuk album baru nanti ya?” Arman senyap, hatinya bergelojak. Ada terlalu banyak perkara yang tidak boleh sampai ke pengetahuan Khairul, terutama dari segi muzik Kunci berkreativiti, penghasilan karya senikata lagu dan banyak aspek lain lagi. Biarpun menyenangi perwatakan Khairul, Arman tidak begitu percaya 100% kepadanya. Kunci bukanlah satu-satunya kumpulan yang diuruskan Khairul. Ada 3-4 buah kumpulan lain lagi. Arman tidak mahu Khairul terlepas cakap, tersasul dan membocorkan rahsia dalaman Kunci pada orang lain secara tidak sengaja.
Arman cuba mengubah topik. Khairul menyedut minumannya sambil cuba bermain bahasa mata, mengcungkil kebimbangan Arman yang dapat dihidunya. Khairul bukan baru dalam bidang pengurusan industri muzik ini. Sudah 15 tahun dia mengendali karenah artis, dari pelbagai peringkat umur, konsep muzik dan pelbagai lagi. Usia Khairul yg hampir melewati 40 tahun mematangkan fikirannya. Dia tahu apa yang Arman cuba sembunyikan. Dia hormati prinsip Arman, lantas dia tidak bertanya lagi. Arman diam, berfikir. Bagaimana akan dihabiskan siang ini? Arman mengajak Khairul beredar dari situ kerana mulai berasa kurang selesa dengan suasana kafe yang makin ramai orang. Sebenarnya, Arman rimas dengan mata-mata yang memandangnya kemudian berbisik-bisik sesame sendiri.

“Ke mana?” soal Khairul.

“Tower Records, saya nak cari cd…”

Mereka berbual-bual kosong di sepanjang jalan. Khairul memandu kereta Proton Wajanya dengan perlahan-lahan, tidak seperti selalu. Pandangan mata Arman lebih tertumpu ke arah kaki lima bangunan di sepanjang jalan. Khairul menceritakan tentang rancangan promosi seterusnya yang diatur untuk Kunci. Sesekali dia mengeluh tentang sikap sambil lewa Ehsan setiapkali sessi latihan. Dia meminta Arman menasihati Ehsan agar menjaga displin dirinya atau diberi kata dua yang boleh mengakibatkan dia dipecat keluar dari kumpulan. Ehsan seorang pemain gitar yang berbakat besar. Sayang kalau dia terus-terusan bersikap membelakangkan kumpulan dan lebih mementingkan teman wanitanya.
Selama beberapa minit, mereka terdiam. Entah kerana apa, Arman tidak tahu apa yang perlu diperkatakan untuk menyenangkan hati Khairul. Sekali imbas, Arman nampak sebuah Wartel di sebelah Seven Eleven. Dia meminta Khairul memberhentikan kereta. Kereta diberhentikan mengejut dan dahi Khairul berkerut seribu tanda tanya. Arman keluar sebentar dari kereta, menyelinap masuk ke dalam Wartel.
“Langit nggak ada. Katanya mau nonton bareng temannya.” Jawab satu suara perempuan dengan lembut. Amran meneka itulah Ibu Langit. Ada sedikit hampa tercuit di hati kecilnya. Sejak dari malam kelmarin dia kerap teringatkan wajah manis itu. Secantik langit, persis namanya yang indah dan unik itu. Dengan muka masam, Arman kembali mendapatkan Khairul yang menunggu di dalam perut kereta.
*************************************************************************************************************************************************
Tap! Radio terpadam. Kaset sudah sampai ke hujung. Nelly tidak puas hati. Ruang dalaman kedai cenderamatanya senyap sunyi. Nelly mengeluarkan cd lagu-lagu dari Daniel Bedingfield pula. Sambil duduk menyilang kaki, dia sesekali menghirup Vanilla Coke bersaiz sederhana yang dibeli semasa singgah di Mc Donald’s sebentar tadi.
Kala lelaki itu masuk ke dalam Kedai “Lain” milik Nelly, mukanya tidak ceria seperti kebiasaannya. Dia tidak menyapa Nelly tetapi terus duduk di hujung meja kaunter, tempat dia selalu duduk kalau berkunjung ke situ. Tempat kegemarannya.

“Bila berangkat ke Melaka?”
“Lusa.” Dia jawab acuh tak acuh.

“Karnival Sureheboh dilancarkan lusa juga?”
Dia sekadar angguk tetapi tidak menoleh memandang Nelly. Aneh. Kenapa lelaki itu berlainan sekali sikapnya hari ini? Apakah yang membuat dia rasa tercengkam sebegitu rupa?
Dua gadis jelita berpakaian seksi menampakkan potongan badan dan bermekap tebal berjalan masuk ke kedai itu. Mereka melihat-lihat t-shirt yang tersangkut di rak besi, dicetak tulisan-tulisan lucu, sinis dan menyindir yang turut dijual di situ. Sesekali berderai ketawa mereka. Kemudian berbisik-bisik sesama sendiri. Nelly masih berdiri di sisi lelaki itu, hanya ekor matanya memerhatikan gelagat dua gadis yang sedang sudah beralih sudut, meninjau-ninjau aksesori kristal. Mereka telah memilih satu bingkai gambar kayu bersaiz 4R dan meminta Nelly membalut cantik-cantik hadiah itu. Setelah membayar wang, dua gadis tadi keluar dari kedai seraya sempat mencuri pandang ke arah Arman yang masih termenung.

“Nak ajak jalan-jalan boleh?” Arman bersuara secara tiba-tiba. Nelly yang sedang membilang wang di kaunter, mempamer senyum.

“Jalan-jalan ke mana?”

“Terpulanglah… tapi aku perlukan teman berbual. Kalau kau sibuk, aku fahamlah…” Di dalam hati, Nelly sedar akan kebenaran kata-kata Arman. Petang masih awal. Dia tidak boleh menutup kedai selagi target jualan harian belum tercecah. Irene, pembantu kedainya cuti pula hari ini. Jika tidak, dia dengan senang hati akan menemani Arman sepanjang hari ini. Seperti selalu. Kalau Arman tidak sibuk di studio, tidak ada pertunjukkan di mana-mana, Arman pasti mengajak Nelly keluar bersama-sama.

“Kita berbual di sini sajalah… Hari ini tak ramai customer.” Nelly melihat jam di tangan. “Tunggu sini kejap, aku pesankan minuman untuk kau.”

Beberapa minit kemudian, Nelly datang duduk di kerusi menghadap Arman. Dia menghulurkan secawan Cappucino kepada Arman. Arman mengambil strip dan terus mengacau air di dalam cawan di hadapannya. Jejarinya menggeletar dan dingin. Arman mengangkat cawan dan terus meneguk seperti sangat dahaga. Sementara Nelly hanya memandang Arman.

“Apa yang kau fikirkan?” tanya Nelly. Arman diam, kepalanya terasa sarat dan berat. Dia sendiri tidak mengerti buah butir fikiran yang dirasakan berkecamuk. Entah kenapa suatu perasaan pilu menyelinap seluruh jasad Arman. Mungkinkah kerana perpisahan selama dua minggu, dia tidak mendengar suara Langit? Atau kerana dia akan mulai sibuk promosi tour selama 6 bulan dari sekarang?

“Kenapa tak gembira? Ada masalah?” tanya Nelly lagi.

“Aku tahu kau selalu ambil berat tentang diriku…” Arman merenung Nelly sejenak. Dia mengusap-usap rambut Nelly yang jatuh ke dahi. Arman mengenali Nelly Karmilla Rashidi semenjak usianya 13 tahun. Mereka sama-sama menuntut di Sekolah Menengah Sri Inai, Ampang. Nelly gadis bijak, baik dan menyenangkan. Arman suka padanya, berkawan dengannya. Senang berada dekat dengannya. Nelly bagaikan sudah menjadi teman paling rapat Arman secara tidak langsung. Kepadanya sering Arman ceritakan tentang segala-galanya. Nelly tahu semuanya tentang Arman. Nelly rapat dengan Mama. Tidak pernah Arman berahsia apa-apa dari Nelly. Namun, hanya yang satu ini agak payah untuk Arman mencari permulaan cerita dari emosinya yang sedang kacau-bilau. Seketika, keadaan di antara mereka keheningan.

“Lagu ini selalu mengingatkanku padamu…” ujar Nelly perlahan. Dia memegang alat kawalan jauh dan memperbesarkan volume radio. Lagu dari Daniel Bedingfield, “If You’re Not The One” sedang bergema. Arman senyum seadanya, menjaga hati. Dia menggeleng-geleng kepalanya. Haruskah diceritakan tentang Langit kepada Nelly? Tentang apa yang ada dalam hatinya terhadap Langit? Haruskah?

Arman memandang ke arah luar kedai, melihat ke arah bangunan-bangunan pencakar langit di tengah-tengah kota sana. Nelly masih tertanya-tanya akan sikap Arman yang sangat berbeza. Tidak ceria dan seperti memikirkan sesuatu. Entah apa. Pengunjung yang datang ke Kedai “Lain” bertambah ramai apabila hari semakin merangkak malam. Arman habiskan waktunya hari itu mambantu Nelly di kedainya. Jam 9 malam mereka pulang bersama-sama menaiki LRT, kerana kereta Kenari warna kelabu asap kepunyaan Nelly berada di bengkel. Hujan lebat membuatkan mereka basah kuyup. Mujurlah hujan turun ketika mereka sudah berjalan hampir benar dengan Apartment Sri Riveira itu. Arman tekan butang naik di sisi lif. Ia meluncur ke atas. Di tingkat enam, Nelly keluar seraya melambai Arman dan melontarkan flying kiss. Arman senyum. Tiba di tingkat tujuh, pintu lif terbuka dan Arman melangkah keluar.

Mama berada di ruang tamu sedang menonton televisyen saat Arman masuk ke dalam Apartment itu tanpa mengetuk pintu. Spontan, Arman berbaring manja di atas peha Mama yang sedang duduk di sofa panjang. Mama membelai rambut Arman bagai anak kecil.

“Kemana saja seharian?”

“Temani Nelly di kedainya.” balas Arman bersahaja.

“Boy tertinggal handphone ya?”
Sekadar mengangguk, Arman cuba mengalihkan fokus perhatiannya ke arah drama ‘Pondok Buruk’ yang disiarkan di Channel Astro Ria itu.
“Ramai call cari Boy tadi…” Mama menghulur sepinggan kuih Tart Nanas kepada Arman, anak tunggal kesayangannya. Semenjak suaminya meninggal dunia, dua beranak ini sering menghabiskan masa bersama andai ada waktu terluang. Arman mengambil satu kuih Tart Nanas di atas piring itu.
“Siapa yang call?”
“Ehsan call bertanyakan cek royaltinya. Rudy dan Shah juga ada call. Liam hantar sms dan satu unknown missed call. Entah dari siapa…” jelas Mama, memaklumkan. Arman menyambut huluran telefon bimbit dari tangan Mama. Dia memicit papan kunci menu dan terus scroll ke daftar panggilan tak terjawab. Terpampang “unknown” di skrin.
*************************************************************************************************************************************************
Encik Nirwan Arsuka mengangguk-angguk dan sesekali tersenyum membaca artikel yang baru dihantar oleh Langit kepadanya. Tertarik benar pada rangkap teks di mana vokalis kumpulan Kunci, Arman Mulya menjawab soalan yang diajukan Langit dengan tenang tetapi sarat dengan pengertian tersendiri.

“Musik adalah sesuatu yang sering menjadi pintu belakang hidup saya. Ini amat penting bagi pendengar untuk mencari sesuatu yang menggembirakan mereka. Saya sukakan konsep di mana jika anda buat sesuatu yang menggembirakan anda, anda akan dihargai dengan baik, tidak kira dalam apa bentuk penghargaan sekalipun, dan tidak semestinya dalam bentuk ganjaran wang! Saya fikir ini wujud dalam setiap pintu belakang semua manusia, dan ini sangat berbeda berdasarkan setiap apa yang anda lalui dalam hidup masing-masing.”

Puas hati dengan apa yang dibacanya, Encik Nirwan Arsuka memutuskan untuk memuatkan artikel Langit kali ini di kolum “Expose” dengan dua muka surat berwarna. Dia mencatat sesuatu di atas kertas bertaip itu sambil sesekali memperbetulkan kesilapan ejaan pada artikel. Majalah muzik ‘Strictly’ itu harus terbit di pasaran sebulan sekali. Ternyata dia telah melewati tarikh deadline. Dia harus cepat-cepat menyerahkan artikel itu ke bahagian grafik untuk layout foto kumpulan tersebut.

Encik Nirwan Arsuka nampak Langit sedang beratur memesan makanan. Dia gamit Langit yang terpandang ke arahnya, mengisyaratkan agar mereka makan bersama. Di Dunkin Donuts yang tidak ramai pengunjung itu memang sesuai untuk mereka menghilangkan stress buat seketika. Langit datang menatang dulang berisi Tuna Sandwich dan Donut perisa lemon. Aroma kopi hitam menyucuk-nyucuk deria bau. Langit senyum pada Encik Nirwan Arsuka yang nampak segak berbaju t-shirt Renoma hitam dan jeans berbutang Levis.

“Mahu minum bersama saya?” Encik Nirwan Arsuka angguk. Langit terus duduk di kerusi kosong berhadapan Ketua Editornya itu. Secara kebetulan dia juga bersendirian hari itu.
“Artikel kamu tadi bagus! Saya suka isi wawancaranya… Soalan dan jawabannya matang. Kayak berbahas! Provokasi kamu positif!” Pujian Encik Nirwan Arsuka membuat rona muka Langit memerah.

“Ah, itu cuma biasa-biasa aja. Bukan saya yang patut diberi kredit sebegitu. Ternyata Arman Mulya lebih layak.” Langit merendah diri.

“Itu benar. Arman yang membuatkan soalan kamu bertambah menarik melalui setiap jawabannya. Tetapi kamu harus sadar bahawa gaya penulisan kamu juga semakin matang dari segi emosi yang terlahir. Begitu dalam dan ekspresi sekali! Seolah-olah kamu dapat membaca segala apa yang ada dalam fikiran Arman saat itu.” Semakin merah muka Langit mendengar kata-kata itu dari mulut Encik Nirwan Arsuka.
“Saya sedang mencuba melepaskan diri dari aturan-aturan penulisan yang selama ini membuat saya terkongkong dan memagari pemikiran saya. Tapi saya kira saya belum berhasil memutuskan apa-apa. Saya berada dalam proses. Dan mungkin saya menjadi matang dalam proses itu.”

Mata Encik Nirwan Arsuka bersinar memandang Langit. Senyumannya mesra dan tidak dibuat-buat. Ada makna tersembunyi dari lekuk senyumnya.

“Kamu akan bisa melepaskan diri dari aturan-aturan dan kongkongan itu, Langit. Saya percaya waktu pasti beri kamu kesempatan untuk menjadi penulis hebat!” Bukan mudah untuk mendengar pujian dari mulut Ketua Editor itu. Tidak tahulah betapa benar dan ikhlasnya kata-kata pujian itu. Sejenak menakutkan Langit kerana tidak mahu hanyut dalam riak takbur dipuji sedemikian.

“Sebenarnya, artikel saya kosong kalau bukan kerana energi yang Arman salurkan ke dalam wawancara ini. Dia itu manusia unik dan terlalu misterius. Saya merasa segar dan lebih hidup saat ngobrol sama dia.”

“Kunci dan Arman Mulya adalah sinonim. Arman Mulya adalah pemegang kunci mutlak atas musik yang terhasil. Saya suka itu….” Encik Nirwan Arsuka senyum lagi, lebih lebar menampakkan giginya. Dia menghirup kopi hitam kurang manis.

Tiba-tiba Langit seperti merindu lelaki itu. Dia merasa kehilangan. Wajarkah diteruskan rasa rindu yang mencengkam? Langit geleng kepala, tidak mahu terjebak lebih jauh dalam dunia Arman, hatinya berdesis. Namun desakan rindu itu mengatasi semua pertimbangan lain. Sudah dua minggu terpisah, Langit kerap kali teringatkan dia, mengharap akan datang panggilan darinya, atau paling tidak kiriman sms sekadar mengisi jiwa yang kosong dan merindu.
*************************************************************************************************************************************************

Friday, March 17, 2006

BAB 1

Bungkusan cakera padat “KUNCI” yang diterima pagi tadi tergenggam kemas di telapak tangannya. Ada tandatangan beserta ucapan ringkas “Selamat Ulangtahun untuk Sahabat terManisku!” dicatat di muka hadapan kulit album berona hijau itu. Langit senyum manis, sendirian. Puas ditelitinya tajuk-tajuk lagu yang dimuatkan dalam album sulung kumpulan yang diberi gelar Kunci itu. Ada 12 buah lagu semuanya. Tak tertahan lagi rasa jiwa untuk mendengar setiap satu lagu-lagu yang tertulis di kertas hijau itu.

Langit membuka kotak cd itu, melihat gambar sekumpulan lelaki sedang pose maut di celah-celah lalang yang tumbuh tinggi. Ada tiga keping gambar berlainan aksi, mereka duduk dan bersandar di dinding sebuah bangunan tinggal yang usang. Langit nampak dia. Dengan rambut ikal diwarnakan tinta coklat perang, bersubang kecil di telinga kiri dan alis kening kanan. Dia nampak comel walaupun ramai teman-teman Langit menganggap dia nampak menyeramkan dengan tattoo tribal di lengan kiri. Langit tahu tattoo itu baru saja dilukis sewaktu kunjungannya ke Bali beberapa bulan lalu.
"Langit!"

Suara itu mengejutkan lamunannya, sekilas menoleh. Satu susuk tubuh kurus tegap berdiri di sebelahnya. Tidak ada senyum di baris bibir lelaki berkemeja petak ungu cerah itu. Segera Langit menyimpan kotak cd itu.

“Data yang kamu siapkan ini banyak yang salah!

“Oh ya?” Langit menelan air liur walaupun sebenarnya tekak masih kering. Dia menjenguk ke arah segumpal kertas bertaip kemas di atas mejanya.

“Apa lagi yang belum saya jelaskan agar kamu bisa faham?” Mata yang berwarna hitam pekat itu nampaknya sangat mengharapkan jawapan dari Langit.

“Semakin banyak data, semakin sukar mengetahui makna sebuah masalah.” desis Langit tanpa memandang ke arah Encik Nirwan Arsuka yang merangkap Ketua Editor di pejabat itu. Langit bimbang akan dimarahi terus. Dia menunduk merenung lantai yang diselaputi permaidani biru tua itu. Dia nampak sedikit gementar.

“Kamu boleh menggunakan komputer di kantor ini dengan gratis, Langit. Ada banyak data bisa terjawab hanya dengan satu klik sahaja. Jangan dulu cepat putus asa. Kamu pasti bisa memperbetulkan kesalahan ini…” Suara Encik Nirwan Arsuka agak mengendur melihat Langit seakan takut-takut. Dia berpaling untuk pergi, namun sebelum dia keluar, pintu kembali terbuka dan dia berpatah balik.

“Atau mungkin kamu jadi tidak konsentrasi kerana kiriman parcel dari pacarmu itu?” katanya dengan suara perlahan, seakan berbisik.

“Saya tidak punya pacar.” jawab Langit seadanya.

“Oh ya? Kamu nampak begitu obses dengan bungkusan tadi. Saya kira pasti dari seseorang yang istimewa barangkali…”

“Pak Nirwan memperhatikan saya?”

Soalan itu dibiar tanpa jawapan. Encik Nirwan Arsuka hanya berlalu dengan senyuman yang sarat dengan makna tersendiri. Langit menyumpah-nyumpah sendiri dalam hati kerana tidak menyedari dirinya jadi bahan tontonan sedari tadi. Dia jadi malu sendiri.

*************************************************************************************************************************************************

Bertempat di biliknya sendiri, Langit sekali lagi mengeluarkan cd “KUNCI” dari dalam tas tangan Salvatore Ferragamo yang diletakkan di hujung katil. Matanya mencari kalau-kalau ada terselit namanya di kotak kredit thankslist Arman. Dia senyum besar sewaktu membaca rangkap, Arman thanks to: “…. bla, bla, bla, bla, buat saudaraku di Jakarta ~ Langit Maniz Octavia Rachel Nugroho atas supportnya, bla, bla, bla, bla…” Langit berasa bangga melihat nama lengkapnya tertera di atas kertas hijau itu.Tiada ruang terlalu sempit untuk Arman mengkhaskan nama panjang itu di situ. Langit tahu Arman selalu ingat akan dirinya, setiap saat, setiap minit.

Tanpa membuang waktu, cd itu pun berputar ligat dalam stereo Hi-Fi Kenwood milik Langit di bilik kecilnya. Langit memeluk bantal guling. Agak kedinginan bilik kecil itu. Lagu yang pertama rancak menangkap pendengaran Langit untuk turut serta mengangguk-anggukkan kepalanya mengikut rentak dram. Langit difahamkan lagu berjudul “Basi” itu dijadikan hits single dan ada video klipnya juga. Konsep Alternatif Orange yang diserlahkan melalui album itu ternyata melekat dengan mudah di jiwa Langit. Serasi dan menghiburkan.

Masuk lagu kedua, Langit berubah mood menjadi lebih sentimental. Dia menempelkan dagunya pada bucu meja sambil cuba ikut bernyanyi mengikut senikata yang tertulis di kulit album. “Ini semua terjadi, apakah cinta sejati? Ku berharap kali ini… terjadi hanya sekali..” Melodi mendayu yang ‘catchy’ itu meruntun hati Langit. Bagai terasa ada hubungan lagu itu dengan dirinya. Langit tenggelam dalam keasyikan irama. Vokal Arman yang sepatah-sepatah meninggalkan kesan mendalam di jiwa Langit. Yang paling terdalam.

*************************************************************************************************************************************************

Mereka berdua berjalan melewati lobi hotel dan terus masuk ke sebuah ruangan dalam coffee house itu. Ada sebuah piano terletak di tengah-tengah sudut seakan pentas kecil. Berjalan melintasi piano itu, Arman memberhentikan tapak langkahnya di sisi piano. Sambil memandang Langit, dia bertanya, “Boleh main piano?”

Langit menggeleng. Serentak itu, Arman duduk dan memainkan piano. Langit tidak tahu lagu apa yang dimainkan. Dia serius sekali dan memang sangat indah sekali irama lagu yang dimainkan. Jari jemari Arman nampak lembut gemalai menekan setiap papan berwarna hitam putih itu. Tapi dia berhenti tiba-tiba sambil menarik nafas panjang.

“Kok berhenti mainnya?” Langit nampak kecewa.

“Memang lagu itu cuma sampai di situ…” jawab Arman dengan senyum bersahaja tapi Langit tahu ada maksud disebalik senyum itu.

“Maksudnya?” Langit masih tidak puas hati dengan jawapan Arman. Dia masih berdiri di sisi piano biarpun Arman sudah bangun dari kerusi dan mahu beredar ke ruangan lain. Sedikit pun Langit tidak berganjak dari situ. Tidak selagi Arman tidak memberikan jawapan yang memuaskan hatinya. Sayang sungguh jika melodi seindah itu dibiarkan tidak lengkap sebegitu.

“Kamu nampak serius sekali.” Arman tersengih.

“Mengapa gak diselesaikan?”

Arman pura-pura ketawa sedangkan Langit tidak dapat meneka apa yang lucu sangat dengan soalannya sebentar tadi. Sikap Arman menimbulkan sakit hati dan rasa mahu marah.

“Kamu suka lagu itu?” Sengaja Arman bertanya lagi meski dia tahu permainan pianonya itu membuatkan Langit terkagum. Nampak jelas Langit kesal lagu itu cuma separuh jalan.

“Jujur saja kalau aku katakan lagu itu bagus sekali. Sayang tak lengkap…” Arman menunduk seketika. Bicara mereka terhenti kerana ada beberapa orang lalu-lalang diruangan itu. Kerana tidak selesa agaknya, Arman menarik tangan Langit untuk keluar dari situ. Arman mendiamkan diri sambil tangannya masih menggenggam erat jemari Langit tanpa ada niat untuk meleraikan pegangan.

“Jawab dong!” Ternyata Langit masih mempersoalkannya. Beberapa detik, anak mata Arman terbenam jauh ke dalam anak mata Langit. Dia seolah-olah menyembunyikan sesuatu. Amat payah untuk terluah dengan kata-kata. Langit semakin kesal dengan sikap Arman yang berahsia. Perlahan dia menarik tangannya dari genggaman Arman. Dia berasa kecil hati.

Belum pun sempat lerai, Arman menarik tangan itu kembali. Menggenggamnya lebih kemas kali ini. Kesepian Arman mengundang tanda tanya. Mungkin lagu itu terlalu bererti buatnya. Ada sentimental value barangkali.

“Boleh tulis lirik?” soal Arman mendadak. Ada sinar berkemilau dari anak matanya yang hitam pekat. Pantas Langit angguk.

“Boleh tuliskan lirik lagu tadi untukku?”

“Asal saja kamu lengkapi sampai habis…”

“Pasti!” Arman berjanji bersungguh-sungguh.

Langit senyum, manis. Cukup manis pada pandangan Arman. Langit Maniz Octavia Rachel Nugroho, nama gadis yang diilhamkan sempena alam semesta itu memang secantik langit biru. Tenang dan mempesonakan. Arman damai berada dekat disisinya.

“Judulnya aja aku sudah dapat…” Langit separuh berbisik ke telinga Arman.

“Apa judulnya?”

“Berkabung!”

“Kenapa Berkabung?” Arman angkat kening. Langit meneruskan langkahnya tanpa mengendahkan Arman. Kali ini giliran Arman menuntut jawapan dari mulut mungil Langit Maniz Octavia Rachel Nugruho itu.

*************************************************************************************************************************************************

“Takkan ku ingkari, semua janji… Walau memang pahit akan ku jalani… Dan ku harap nanti akan menjadi sebuah rasa cinta, dan selalu abadi…”

Langit sukakan kata-kata lagu itu. Dengan masih menggunakan judul “Berkabung”, meski bukan Langit yang berkesempatan menggubah kata-katanya, Arman seolah tahu apa yang ada dalam bisikan hati Langit saat itu.

“Pas banget!” Langit bicara sendiri. Arman mampu membaca hatinya dengan mendalam sekali. Kepulangan Arman yang mendadak membuatkan Langit tidak sempat mengotakan janjinya untuk lirik lagu itu. Arman tidak mengucapkan selamat tinggal. Hanya kiriman sms yang membuat Langit tahu Arman sudah pergi tanpa pamit. Langit tidak marah, hanya sedikit kesal. Kenapa hanya seketika waktu mengizinkannya untuk terus mendampingi lelaki unik itu? Kenapa hanya sebentar waktu Arman di bumi Jakarta? Kenapa dia perlu tergesa-gesa pulang? Itu yang amat Langit kesalkan.

“Panggilan jiwa.” Ringkas jawapan sms dari Arman saat Langit bertanyakan soalan berbentuk kenapa itu. Sms dari Arman selalunya pendek tetapi punya maksud tersirat. Langit sempat bangga dan berbesar hati dapat menjadi teman dekat Arman di sini. Lebih meriangkan, Arman mengguna-pakai judul “Berkabung” yang diilhamkan Langit dulu.

*************************************************************************************************************************************************

“Nanti kita lanjutkan dengan makan malam, ya?”

“Aku gak mau merepotkan kamu, Arman.”

“Tidak. Hari ini aku sedia bersama kamu kerana aku memang punya waktu terluang. Aku tak tahu kalau esok lusa aku dapat berdua bersama kamu seperti ini lagi.”

Dan benarlah seperti kata-kata Arman itu, ternyata dia sangat sibuk pada hari-hari mendatang. Sehinggakan kepulangannya juga tidak dimaklumkan kepada Langit. Lima hari berada di Jakarta, Armand dan teman-temannya harus mengikut jadual ketat yang telah diatur. Promosi di sana-sini. Sidang akhbar padat dengan pemberita dan wawancara tidak putus-putus. Itu belum masuk hitungan waktu Arman dikerumuni peminat fanatik yang histeria sampai pengsan, ketika tangan Arman menyentuh setiap mereka, bersalaman. Langit tahu Arman benar-benar sibuk dan kesudiannya untuk bersama Langit sepanjang hari itu amat dihargai.

Di dalam restoran yang tidak begitu ramai pengunjung, Arman duduk setentang dengan Langit. Dia meminta Langit untuk menceritakan tentang kerjaya sebagai jurnalis musik. Dia begitu menaruh perhatian pada cerita-cerita Langit, tampak sangat berminat. Minit demi minit berlalu, berganti jam demi jam. Tanpa sedar, tak terasa waktu berjalan pantas apabila bersama Arman. Lelaki itu penuh pengertian, membuai Langit dengan mersik tutur suaranya yang bagaikan bernyanyi rapat di telinga Langit.

Tidak hanya makan malam di situ, Arman membawa Langit singgah di Studio Palu, tempat dia dan teman-teman lain berlatih untuk persembahan di Kafe Kemang esok. Arman menyuruh Langit duduk di sofa panjang warna hijau pucuk pisang itu, kemudian Arman datang dengan gitar akustik di tangan.

“Lagu jenis apa kesukaanmu?”

“Banyak! Tapi paling suka musik yang kaya emosi.”

Sekali lagi lelaki unik ini menghiburkan Langit dengan petikan gitar. Sebelumnya dia membuat Langit kagum akan permainan pianonya, kini Langit terpanah oleh permainan gitar dan suaranya yang mendendangkan lagu John Mayer, “Your Body Is A Wonderland.”

Langit senyum semanisnya. Dia turut sama mengalunkan nada, Langit berdoa agar lagu itu takkan berakhir. Gembira rasanya melihat Arman membuat persembahan percuma di hadapannya. Tanpa perlu membeli tiket, Langit dapat layanan bertaraf VIP dari seorang pemuzik berbakat besar ini. Sebaik saja bunyi gitar terhenti, Langit bertepuk tangan dan memuji-muji vokal Arman yang begitu ekspresif.

"Wah, kamu benar-benar musisi versatile! Hebat!” Langit masih bertepuk tangan.

“Kamu suka John Mayer?” Arman menyoal.

“Ok juga, tapi aku suka lagunya dinyanyikan oleh kamu. Seru amat sih!”

Pujian Langit yang melambung tinggi membuatkan muka Arman merah tiba-tiba. Dia meletakkan gitar di lantai, merenung Langit tanpa kelip. Langit yang sangat baik, mengkagumkan, jujur, cantik dan seksi semulajadi.

“Aku suka melihat kamu ketawa dan tersenyum.”

“Emang ada apa pada gigiku?” Arman tahu Langit cuba berjenaka.

“Gigi kamu itu, layaklah jadi idaman para dewa sekalipun. Kamu sangat cantik kalau ketawa.” Muka Langit terasa memanas dan pastinya sama merah dengan muka Arman.

“Ah! Emang aku cantik?” Langit jadi tersipu-sipu malu. Belum sempat Arman menjawab pertanyaan itu, pintu studio terkuak dari luar. Masuk dua orang teman Arman, Shah dan Rudy. Diperkenalkan kepada Langit, mereka peramah sekali orangnya. Shah yang bermain dram agak lucu dan selalu berjenaka. Manakala Rudy di posisi bass, gelak ketawanya kuat dan deras. Langit seperti terdengar Arman mendesis perlahan, seperti tidak senang dengan kehadiran kedua-dua temannya itu. Lebih ketara, Arman tidak betah melihat Langit bergelak ketawa mesra dengan mereka. Langit menyedarinya dan cepat-cepat bangun dari sofa panjang.

“Aku udah harus pulang nih!”

“Eh, tunggulah dulu… Kami berlatih sekejap lagi. Langit boleh tonton dan berikan komentar.” Rudy menahan niat Langit untuk beredar. Arman hanya diam tapi mengangguk-angguk. Langit serba salah. Namun dia memutuskan untuk pulang juga kerana hari sudah lewat malam. Sebelum Langit keluar dan mengucapkan selamat malam pada Shah dan Rudy, dia terasa lengannya dicuit. Langit menoleh.

“Kalau Langit ke Kuala Lumpur, mahu tak datang ke rumah aku?” Shah tiba-tiba berada dekat benar di sebelah Langit. Beberapa saat menatap Arman, Langit melempar senyum ke arah Shah.

“Terima kasih atas undangannya. Kenapa tidak? Kalau aku ke sana, pasti aku mampir ke rumah kamu!” Langit kenyit mata pada Shah. Tindakannya itu membuat Arman sedikit terkesan. Mungkin cemburu adalah lebih tepat definasinya. Langit yang cepat mesra tidak dapat mentafsir pandangan mata Arman yang diam dari tadi. Ada desir lembut menyapa.

Langit menghidupkan enjin kereta Taruna itu, lalu kembali mendekati Arman yang berpeluk tubuh. Lelaki itu memandangnya lama tanpa lepas. Jelas kelihatan fikirannya sedang berkelana jauh entah ke mana. Beberapa saat kemudian dia bagai tersedar dari lamunan panjang yang mengasyikkan.

“Makasih ya, Arman! Atas waktumu yang mahal itu buat aku…”

“Kamu senang?”

“Yah, jelas sekali… Serasa gak mau pulang nih!”

“Lantas? Aku tak menyuruh kamu pulang lagi kan…?”

“Aku tahu tapi aku sudah capek… Mau tidur duluan. Sampai jumpa lagi nanti ya!” Arman tidak segera menjawab. Langit menanti dengan perasaan tertanya-tanya. Perlahan Arman angguk dalam payah. Semacam sukar untuk melepaskan Langit pulang pergi. Arman bersalaman dengan Langit tetapi tangannya tidak dilepaskan lagi. Masih memegang tangan Langit.

“Ciuman dulu, dong!” rengek Langit manja dan secara mengejut.

Arman terpegun. Pernah tersemat keinginan dalam dirinya untuk melaksanakan keinginan itu tapi dikuburkannya rasa itu kerana tidak mahu Langit menganggap itu keterlaluan. Justeru saat Langit yang meminta, Arman merasakan kejutan yang luar biasa, yang membuatkannya tergamam.

“Kenapa mesti aku cium kamu?”

“Oh, nggak mau?” mata Langit bulat seolah tidak memahami apa yang dirasakan Arman. Melihat Arman yang diam dan kaku, Langit tambah hairan.

“Ciuman doang…. Nggak apa-apa kan?”

Arman memejamkan matanya, lalu dengan lembut Arman mencium pipi kiri Langit, kemudian pipi kanannya pula. Arman membuka matanya, dia nampak senyum manis Langit menampakkan gigi putihnya. Langit membalas ciuman di pipi Arman, kiri dan kanan.

“Makasih, Arman! Kamu baik sekali. Aku cuma ingin sebuah kenangan yang paling indah dari kamu.” Langkah-langkah Langit pergi sementara Arman hanya membiarkan dia pergi, tanpa sepatah kata.