Sunday, May 21, 2006

BAB 3

Ruang studio sunyi sepi. Khairul gelisah tak menentu. Sesekali melihat jam di tangan, melepaskan keluhan berat dan panjang. Dia berjalan mundar-mandir. Tidak dapat berdiam diri. Khairul paling benci pada orang yang tidak menghargai masa. Dia paling tidak suka tugas menunggu. Dalam pada dia mengomel sendirian, dia terdengar bunyi tapak kaki orang berjalan di bilik rakaman vokal. Dia mengintai tetapi tiada sesiapa pun.

Baru saja Khairul berpaling tubuh untuk berpatah balik ke ruang hadapan, ada bunyi pintu terkuak dari belakang dan sesuatu menyentuh bahunya. Khairul melompat dan sedikit terpekik. Dia berdiri dengan kedua belah tangan menggenggam penumbuk.

“Hey, Sayalah!” Arman sedang berdiri di hadapan Khairul, tersengih.

“Kau rupanya… Nasib baik aku tak bukak langkah silat tadi.” Khairul mengurut dada, lega. Arman gelak-gelak kecil.

“Bila kau sampai? Mana yang lain?”

“Dah 20 minit saya kat dalam tu… Saya tak datang dengan mereka semua. Nelly hantar saya ke sini tadi. Agaknya mereka dalam perjalanan…”

“Selalu lambat!” rungut Khairul. Arman diam membisu. Mereka berdua berjalan seiring ke ruang hadapan studio. Tidak lama kemudian, Ehsan datang bersama Ezra, teman wanitanya. Muncul pula Liam dengan menggalas gitar di bahu. Rudy dan Shah buat-buat muka bersalah pada Khairul kerana menjadi orang paling terakhir tiba. Khairul berasa sudah muak untuk marah dan berleter lagi. Buang masa dan penat tenaga.

Sessi latihan petang itu berlangsung selama 2 jam. Arman berpeluh-peluh biarpun studio itu lengkap berhawa dingin. Mereka mencuba memainkan lagu baru Arman yang berentak rancak. Lagu yang digubah dengan menyerapkan kesan persembahan muzik ala Jawa yang kreatif dan menarik. Pada mukadimah lagu, Arman mahu Ehsan lebih bervariasi teknikal dalam permainan gitarnya. Berkali-kali Ehsan memetik gitarnya, Arman masih belum puas hati. Intro gitar itu tidak seperti yang diinginkannya. Ehsan nampak bengang apabila Arman mempertikaikan kebolehannya. Dia mencampak gitar ke tepi dengan muka masam.

“Kau mainlah kalau pandai sangat!” bentak Ehsan sambil bercekak pinggang. Semua mata terpaku memandang Ehsan. Arman yang berdiri di hadapan Ehsan berlagak tenang. Khairul gelisah di tepi pintu masuk studio melihat suasana tegang itu.

“Aku tak kata aku pandai… Kau lebih pandai dari aku, cuma sound gitar kau tak macam yang aku cuba aplikasikan pada lagu ni… Tak dapat feel yang aku mahukan…”

“Macam mana lagi yang kau nak?” suara Ehsan meninggi.

“Mula-mula, biar gitar tak pakai distortion. Aku mahu intro bersih. Masuk part chorus, barulah bising sikit. Masa tu beat dram dah follow, takpelah nak distort kaw-kaw pun…” Arman menjelaskan dengan suara perlahan tetapi jelas.

“Argh! Aku dah buat macam tu tadi. Kau masih tak puas hati, apahal?” Ehsan mengeluh keras, kemudian menghempas punggungnya ke sisi Ezra yang sedang duduk di sofa panjang di tepi dinding studio. Ezra diam tak bergerak, takut melihat wajah Ehsan yang berang. Khairul mula mengesan suasana yang tidak harmoni antara Ehsan dan Arman akan berlanjutan sekiranya dia tidak melakukan sesuatu. Dia kemudiannya bertepuk tangan. Serentak itu, semua mata dalam studio beralih memandangnya.

“Ok, aku rasa kita berhenti sekejap. Jom aku belanja minum kat gerai mamak depan sana. Bila mood dah ok, kita sambung balik latihan.” cadang Khairul, cuba menyelamatkan keadaan. Shah lantas bangun dari kerusi dram, setuju dengan cadangan Khairul. Rudy mengangguk. Liam angkat bahu. Ehsan menarik tangan Ezra keluar dari studio, mendahului yang lain. Mukanya masih masam. Khairul, Shah, Rudy dan Liam menunggu reaksi Arman.

“Kamu semua pergilah! Biar aku tunggu sini je…” getus Arman. Khairul dapat mengesan kekesalan Arman dengan sikap Ehsan yang tidak boleh ditegur. Khairul memegang bahu Arman dengan tujuan untuk memujuknya. Wajah Arman terus suram dan bungkam.

“Kau jangan kecil hati dengan Ehsan tu… Kejap lagi ok lah dia!” Rudy bersuara. Dia faham perasaan Arman yang banyak bersabar dengan karenah Ehsan yang semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini. Tidak berdisplin dan selalu tidak sebulu dengan Arman. Dia semakin malas berlatih, selalu lambat dan mutu permainan gitarnya juga semakin cincai, tidak bersungguh-sungguh.


“Kita sambung balik lepas minum nanti ya, Man… Lagu kau tu best cuma pelik sikit melodinya. Kreatif dan satu pembaharuan yang bagus buat Kunci.” pujuk Liam yang selalunya jarang memberi komen.


“Terima kasih kerana kau nampak apa yang aku cuba buat untuk Kunci. Aku harap Ehsan faham…” Arman nampak sedih.


“Aku cuma risaukan Ehsan. Kalau dia terus begini boleh menjatuhkan nama Kunci. Karnival Sureheboh akan dilancarkan esok. Kita takde banyak masa lagi untuk berlatih. Ehsan masih nak berkepit dengan perempuan tu je!”

Arman menyeluk poket seluar, mengeluarkan telefon bimbitnya yang bergetar. Khairul, Shah, Rudy dan Liam masih tercegat menanti Arman, turut memerhatikan tingkah laku Arman bersama telefon bimbitnya. Arman tunduk, membaca.

“Saat Malaikat menghampiriku, Dia bertanya padaku, ‘Apa yang kamu inginkan hari ini?’ Aku menjawab, ‘Tolong jaga orang yang membaca pesan ini, karna AKU SAYANG DIA.” Dari wajah sedih, automatik berubah kembang senyum tak putus-putus. Arman ingin bukan sms di telefon bimbitnya yang menggeletar. Dia ingin agar Langit langsung menelefonnya, dan akan dia pantas membalas bahawa dia juga sayangkan Langit. Sayangnya, tiada kredit untuk Arman membalas kiriman sms itu.

Khairul tercengang melihat Arman tiba-tiba senyum. Rudy, Liam dan Shah terkebil-kebil tidak faham, mereka berpandangan sesama sendiri. Berderai ketawa kecil dan bibir Arman melihat kebingungan teman-temannya. Dari isyarat matanya dia memberitahu mereka yang moodnya sudah pulih. Dia mengajak mereka keluar minum, menghampiri Ehsan dan Ezra, menyapa mereka selamba. Seperti tidak ada apa-apa yang berlaku antara keduanya dalam studio sebentar tadi. Ehsan hanya menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

***************************************************************************************************************************************
Gadis itu nampak samar-samar dalam cahaya suram yang sengaja digelapkan. Arman nampak dia mengangkat tangan, menunjukkan ibu jari sambil tesenyum. Entah apa maksud isyarat ibu jari itu. Mungkin membawa erti ‘kamu nampak hebat!’ atau mungkin juga sekadar ‘boleh tahan juga!’, Arman mentafsir sendiri. Lagu “Percuma” baru saja selesai berkumandang. Tidak banyak komunikasi dengan penonton, Arman hanya sering memainkan mimik muka, kenyit dan membeliakkan mata, menjelir lidah sesekali. Pergerakan lincahnya agak terbatas kerana lebih banyak duduk di kerusi.

Sessi unplugged yang dijayakan di Kafe Kemang itu adalah penampilan terakhir Kunci di Jakarta. Mereka akan berangkat pulang awal esok pagi setelah 5 hari di negara jiran itu. Kenangan manis di Jakarta yang menemukan Arman dengan wartawan genit bernama Langit. Meski dalam masa sesingkat 5 hari itu, Arman dan Langit sudah mesra, bagaikan pernah kenal sebelum ini.

Lagu terakhir yang dipersembahkan Kunci pada petang itu ialah sebuah lagu berentak moderate berjudul “1 Meter Kotor”. Arman dengan gitar akustik di tangan nampak penuh berkarisma dan menjiwai lirik lagu itu sepenuh perasaan. Langit suka menatap muka cute Arman yang santai memakai jaket hitam, t-shirt kuning tertulis “I Wonder Why You Can’t Copyright Voice?!”, jeans biru lusuh dan kasut All-Star biru tua. Dia duduk di atas kerusi bulat tinggi itu dengan kaki menjungkit memijak palang kaki di kerusi. Arman bernyanyi sambil memejamkan mata. Bibirnya bergetar. Suara ‘jantan’nya begitu merdu kedengaran, menembus hingga ke ulu hati Langit. Si pemain gitar utama yang berdiri di sebelah kiri pentas, Ehsan nampak lebih menyerlah saat petikan gitar solonya difokuskan pada akhir lagu. Dan berderailah tepuk sorak dari para penonton yang hadir melihat persembahan kumpulan dari Malaysia yang sememangnya luar biasa kreativiti muzik mereka.

Langit gagal mendekati Arman selepas persembahan itu kerana Arman dikerumuni wartawan dan peminat yang sama banyak jumlahnya. Arman dan anggota kumpulan Kunci yang lain tenggelam dalam sinar kemilau lampu flash dari kamera-kamera orang suratkhabar, majalah, televisyen dan radio. Arman mendongak, tercari-cari wajah secerah langit itu tetapi tidak berjaya ditemukan. Dia terus dihujani soalan demi soalan dari mulut-mulut wartawan lain.

Hanya Liam yang terserempak dengan Langit di pintu masuk kafe. Sempat Liam menegur Langit dan seorang lagi teman perempuannya yang memakai kacamata hitam.

“Hai Liam!” tegur Langit, ternyata nampak riang.

“Yuk, kenalkan temanku, Reiko namanya.” Liam kelihatan terpesona melihat Reiko yang bermata sepet, nampak jelas ketika dia mengangkat kacamata hitam dan membiarkannya di rambut. Liam berjabat tangan dengan Reiko.

“Ah, senang sekali bisa ketemu kamu. Keren tadi manggungnya!”

“Terima kasih. Semua orang nampaknya gembira dengan persembahan kami. Saya agak terharu…” Reiko dan Liam sama-sama tertarik, melihat anak mata masing-masing yang sarat berisi seribu makna. Langit faham makna dari senyum dan renungan sebegitu.

“Kau…. mau ke mana, Langit?” soal Liam bila melihat Langit cuba menjauh dari mereka.

“Lho, kok tanya sih? Masak kalian mau aku nonton mainan mata-mata nakal kalian? Kau di sini saja dulu, Reiko. Aku permisi ke sana, mau cari Arman.” Langit terus pergi meninggalkan Reiko terpingga-pingga. Tetapi Liam memanggilnya.

“Langit, Arman sudah naik ke atas van tadi! Tak usah mencari dia… Saya rasa dia pulang awal ke hotel selepas sessi wawancara dan fotografi tadi.”

“Apa memang kamu semua sepakat berangkat ke Kuala Lumpur nanti malam?”
Dahi Langit berkerut minta penjelasan.

“Oh tidak, bukan malam ini. Kami pulang esok pagi tapi Arman agak terganggu sedikit kesihatannya tadi. Katanya, kepalanya berat dan mahu tidur sebentar.”

“Oh ya?” Timbul sedikit rasa mendesak agar Langit mengunjungi Arman di bilik hotelnya, melihat khabarnya dia yang diberitakan tidak sihat itu.

Bagaimanapun niat itu terbantut sebaik saja Liam memegang bahu Langit dan berkata, “Dia ok, tak apa-apa… mungkin sedikit lelah!"

"Baiklah, kalau gitu… Titip salamku buat Arman ya… Beritahu dia, akan sia-sia sekali kalau aku sampai tidak jumpa dia nanti!”

Liam angguk. Reiko mengajak Langit naik ke teras depan kafe dan duduk di kerusi tetamu yang ada di sana. Suasana tenang sahaja. Sementara di ruang dalam bar, terdengar-dengar suara lelaki berbual sesama mereka. Shah, Rudy dan Ehsan masuk ke situ dengan keringat dingin di dahi masing-masing.

“Hai Langit!” tegur ketiga-tiganya, mesra. Turut diperkenalkan kepada Reiko, Langit senyum-senyum saja seraya mengangguk perlahan.

“Kamu datang untuk jumpa Arman ya?” soal Shah seolah membaca hati kecil Langit yang sedikit resah. Dia mendekati dan duduk di sebelah Langit. Langit jadi terbungkam memandang Shah sambil batuk-batuk kecil.

“Aku ke mari untuk melihat kalian manggung.”

“Bagaimana kami? Hebatkah?”
mata Ehsan bulat memandang Langit.

“Aku suka banget! Hebat dan menghiburkan!”

“Kamu jangan cuman nonton aja, Langit. Coba bikinkan komentar review yang hebat. Ini Pak Nirwan yang pesan tadi.”
Reiko mengingatkan. Langit angguk dan terus senyap memikirkan bentuk rencana ulasan yang bakal ditulisnya nanti. Tentang keseluruhan persembahan unplugged yang begitu hidup diterajui sehabis baik oleh nyawa Kunci sendiri, Arman Mulya.

“Kalian ke mana semuanya ini nanti?” Reiko mulai serasi berinteraksi dan bergaul mesra dengan yang lain-lain di situ.

Liam pantas menjawab, “Pulang ke hotel. Tunggu van datang dari menghantar Arman.” Reiko angguk tanpa menyahut lagi.

“Oh ya, suka baca buku sambil dengar musik gak?” soal Langit tiba-tiba. Hampir kesemuanya di situ mengangguk serentak.

“Cuma satu tempat yang penting didatangi…”

“Ak Sa Ra?”
sampuk Reiko.

“Iya, Ak Sa Ra… Koleksi buku bahasa Inggrisnya lumayan beragam, CD importnya keren-keren. Kalau memang kamu cari CD atau buku yang spesifik dan enggak ada, bisa dipesankan. Arman pernah bilang kalau dia mahu ke tempat sebegitu.” jelas Langit.


“Di mana Ak Sa Ra? Mungkin kami sempat singgah sebelum pulang nanti.” sahut Ehsan, nampak berminat.


“Ada di Jalan Menteng Raya dan Cilandak Town Square.” Pantas Reiko menjawab. Langit tiba-tiba bangun dari kerusi. Wajahnya mendung. Sugul dan nampak gelisah.


“Aku sudah harus pulang nih… Kamu bagaimana, Reiko? Masih mau tinggal sini?” soalan itu tertuju pada Reiko yang kelihatannya leka dan gembira berada bersama anggota-anggota Kunci yang lain.

“Oh, tidak… Aku ikut kau!” Reiko melompat bangun juga.

“Aku permisi ya semua…” lembut suara Langit menyapa telinga, bagai tiupan angin sepoi-sepoi bahasa. “Aku senang bisa kenal kalian. Semoga Kunci terus sukses dan bisa ke Jakarta lagi.” Langit senyum dibuat-buat, bersalaman dengan Liam, Shah, Rudy dan Ehsan. Sayang sekali Arman tidak ada di situ bersama mereka. Ada kecewa di tangkai hati Langit, menginginkan kehadiran lelaki itu pada saat-saat begini. Reiko juga turut bersalaman.


“Akan aku kirim copy Majalah ‘Strictly’ buat kalian nanti kapan tersiar komentar manggung tadi.”


“Tulis yang indah ya!” pesan Rudy, sengih-sengih.


“Pasti! Mudah-mudahan perpisahan kita hari ini tidak akan menjadi simbol bahawa Kunci bakal berkubur. Aku mau ketemu kalian lagi dalam album selanjutnya.” Langit dan semua yang ada di situ ketawa kecil.

“Salam dariku buat Arman Mulya! Kalau benar dia kelihatan teramat sangat tidak sihat, lebih baik kalian hantar ke dokter. Musisi tidak harus jatuh sakit untuk mengembara jauh.” Dalam sungguh makna sinis melalui rangkap penghabisan Langit itu. Dia kenyit mata pada semua yang memandangnya dan terus pergi. Reiko terkejar-kejar dari belakang, cuba menyainginya.

Dan itulah kali terakhir Langit terlihat bayangan Arman dalam angannya sebelum lelaki itu ditelan kabus pekat, dibawa pergi pesawat 747 meninggalkan bumi Jakarta. Sekaligus meninggalkan Langit tanpa pesan.

***************************************************************************************************************************************


Mama melaung nama anak tunggal kesayangannya berulang-kali. Dia sudah terlambat. Mama tahu Arman tidur lewat malam tadi. Bunyi bising dari radionya cuma lenyap sekitar jam 5 pagi. Dari situ Mama tahu Arman kesiangan dan terlambat untuk ke Melaka bersama teman-teman lain. Khairul sudah menelefon hampir setiap minit. Nelly datang awal pagi, mengetuk pintu bilik Arman bertalu-talu. Rudy dan Shah yang nampak masih mengantuk, tersandar di sofa panjang menghadap televisyen, menunggu Arman. Pintu bilik berkunci. Tiada tindakbalas dari dalam. Mama dan Nelly terus memanggil.

Selang beberapa minit, pintu pun terbuka. Arman menjenguk sambil menggosok-gosok matanya. Dia menguap lebar dan tangannya diregangkan ke kiri kanan, menggeliat. Arman buka mata yang masih berselaput tahi mata. Ada muka Nelly yang masam. Ada muka Mama yang menggeleng-gelengkan kepala. Televisyen bercakap sorang-sorang di hadapan dua budak lelaki yang tidur berlaga kepala sesama sendiri.

“Tidur mati ke?” Muka Nelly masih masam.

“Hah?” Ternyata Arman masih khayal dalam alam pertengahan antara lena dan jaga. Nelly cubit lengan Arman. Mama senyum kecil.

“Dah lupa? Rudy dan Shah dah sampai satu jam yang lalu. Abang Khairul mengamuk kat bawah sana. Kau sedap-sedap berdengkur tak ingat dunia…” marah Nelly, menjeling Arman. Suara halusnya menyucuk-nyucuk pendengaran Arman. Sekali lagi dia menoleh ke arah dua budak lelaki tadi. Ternyata itu Rudy dan Shah. Ada beg sandang besar terletak dekat di kaki mereka, juga sebuah beg gitar hitam.


“Ya Allah! Macam mana boleh lupa?” Arman menepuk dahi, berlari semula masuk kebiliknya, mencapai tuala merah Coca-Cola itu dan terus menghilang di sebalik bilik mandi. Terdengar simbahan air menyembah lantai. Nelly berjalan masuk ke dapur, membantu Mama membancuh kopi dan menyediakan roti bakar. Khairul masuk bersama Ehsan dan Ezra.


“Mana Arman?”


“Mandi… minumlah dulu, Abang Khairul.” pelawa Nelly, takut-takut. Dia tahu Khairul pantang memaafkan orang yang tidak menepati masa. Hanya Ehsan dan Ezra duduk di meja makan itu, sementara Khairul masih berdiri mencekak pinggang.

“Hoi, Hantu! Bangunlah!!” jerkah Khairul pada Rudy dan Shah. Terkulat-kulat kedua-duanya sejenak. Arman keluar dengan lengkap berpakaian sambil sengih-sengih pada Khairul. Tidak ada senyum di wajah Khairul. Serius.

“Bas dah lama tunggu… Lambat macam Rock Star habis!” sinis sindiran itu. Arman cuma telan air liur, mengakui kesilapannya. Dia memeluk Mama dan sekilas dahinya dicium Mama sepenuh kasih sayang. Dia mengangkat beg sandang Timberland itu ke bahu.

“Hati-hati ya, sayang… Buat yang terbaik!” Selalunya Mama akan pesan begitu dan Arman sematkan dalam dada sentiasa. Jari-jemarinya memegang tangan Mama lantas mengucupnya. Kemudian beralih memandang Nelly yang sedang berdiri tercegat berpeluk tubuh di sebelah pasu bunga dekat dengan dapur. Tiada reaksi darinya, begitu bersahaja sekali wajah itu.

“Aku buat kau marah ke?”

“Tak! Aku cuma tak suka kau tidur mati macam tu sekali… Sampai nak tercabut anak tekak aku dan Mama memekik, tak dengar juga. Tidur berlebihan itu untuk orang-orang yang lembab dan pasif fikirannya… tahu?”

“Sorry ok?”

“Takpelah…. Cepat! Kau dah lambat! Nanti bising lagi Abang Khairul…” Nelly menggesa Arman yang seperti melengah-lengahkan masa. Dia menolak Arman keluar ke pintu hadapan. Mama mengekori mereka.

“Boy pergi ya, Mama… I Love You!” Arman memeluk Mama lagi. Nelly sudah mula tersenyum melihat Arman yang manja. Saat tangan Arman menyentuh tangannya, Nelly merasa tangan itu sesejuk ais.

“Temankan Mama ya… Aku pergi dulu. Nanti aku belikan kau souvenir tanda terima kasih kerana menjaga Mama. I Love You!” Arman kenyit mata dan melambai dua wanita yang senyum serentak. Langsung Arman berlari-lari anak ke arah bas yang menunggu kian lama.